
Mengapa ramai orang yang dengki ke atas nikmat yang Allah SWT beri.
Dalam surah Yusuf diceritakan bahawa Nabi Yaakub menasihati Yusuf supaya tidak menceritakan perihal mimpinya itu kepada saudaranya.
Disebabkan Yusuf bersangka baik lagi mengasihi saudaranya, maka beliau pun mahu berkongsi kegembiraan itu bersama mereka.
Akhirnya kedengkian dan hasad merasuk ke dalam hati saudara kandungnya sendiri sehingga melahirkan dendam dan kejahatan.
Sesungguhnya kisah Nabi Yusuf memberi pengajaran kepada kita supaya berwaspada apabila mendapat suatu anugerah atau nikmat yang hebat.
Janganlah disebut dengan kebanggaan berlebihan hingga menimbulkan rasa cemburu orang yang mendengarnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang mengalami mimpi baik dalam tidurnya, hendaknya dia tidak menceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang dicintainya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penyakit HASAD menyerang sesiapa saja yang lemah imannya, tidak kira si KAYA atau MISKIN, orang ALIM atau tidak berilmu, PEMIMPIN atau rakyat jelata, mereka semua terdedah dengan hasutan syaitan.
Ramai yang lupa bahawa sebenarnya sifat dengki yang bersarang di dada itu menunjukkan mereka berani melawan ketentuan Allah SWT ke atas diri hambanya yang lain?
Bukankah bermakna dia musuh kepada nikmat Allah SWT kerana tidak mahu akur dengan qada’ dan qadar Allah SWT terhadap saudaranya.
Sememangnya si pendengki sudah membuka pintu permusuhan bukan hanya kepada orang yang didengki namun kepada Tuhan yang memberi kebaikan kepada saudaranya itu.
Seolah dia berkata: “Tuhan tidak betul membahagi nikmat!” Pada hakikatnya dia juga berkata: “Tuhan tidak adil!”
Dan yang paling teruk lagi dia berkata: “Tuhan zalim kepadaku!”
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan) maka yang demikian itu menyakitkan hati mereka.
Dan jika kamu ditimpa bencana mereka bergembira dengannya.
Dan jika kamu bersabar dan bertakwa maka tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun.
Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya atas apa juga yang mereka lakukan.” (Surah Ali Imran, ayat 120)
Begitulah lumrah kehidupan, kita memerlukan hati yang sabar dan takwa untuk tetap tegar di atas pengkhianatan dan kejahatan orang yang mendengki.
Sabar bukan bermakna duduk dan menangis sambil menadah tangan ke langit tetapi enggan berusaha membina kekuatan.
Tetapi di atas kedengkian orang lain anda mesti lebih menyerlah dan tidak mengaku kalah. Kerana sesungguhnya Allah SWT memberi kejayaan bagi orang yang mahu berusaha bukan untuk mereka yang lemah dan takut menghadapi hidup.
Manusia boleh mendengki tetapi Allah SWT tetap membahagi menurut qada’ dan qadarnya, bukankah sia-sia saja melawan ketentuan Allah terhadap saudara kita?.
p/s Biasalah ...tak semua senang hati melihat kesenangan kita. Siapa yang sentiasa bersifat begini hatinya penuh dengan ulat....