Thursday, August 18, 2011

Hidup berjiran



Islam mengajarkan bahawa antara sesama muslim adalah bersaudara serta setiap individu diseru supaya berbaik-baik,dan bantu-membantu dalam semua usaha dan perkerjaan yang menuju kebaikan sesuai dengan tuntutan Allah.


Jiran sebagai saudara terdekat mempunyai tempat yang khusus dalam Islam hinggakan baik buruk berjiran merupakan ukuran iman sesorang.
Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat,hendaklah berlaku baik terhadap jiran tertangganya,sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berbicara yang baik dan diam sahaja.



Hadis Rasulluallah (swt) ini menyeru manusia supaya memuliakan jiran, memelihara hak-haknya dan berbuat ehsan kepadanya dengan segala macam kebaikan menurut kemampuan seseorang. Contohnya, memberi hadiah, menghilangkan kesulitannya, membantu apa yang diperlukan, menolak segala gangguan serta ikut menaggung kesedihannya.


Jiran tetangga yang dimaksudkan ialah keluarga yang tinggal di persekitaran kita, iaitu empat atau lima puluh rumah dari setiap sudut. Merekalah yang mula-mula sekali wajib perlakukan dengan baik sebelum keluarga lain, iaitu dengan menjaga air muka agar sentiasa manis tanpa ada tanda-tanda permusuhan atau kebencian, saling memberi apabila mendapat rezeki lebih, menahan rasa dengki atau sakit hati yang di timbulkan oleh jiran lain dan menahan diri daripada membalas terhadap jiran yang telah menyakiti hati kita.



Demikianlah kewajipan hidup berjiran. Apabila kewajipan-kewajipan ini telah dapat diamalkan oleh setiap orang yang berjiran, nescaya tercipta suasana tenang dan tenteram dan penuh kedamaian. Allah telah berfirman:
Sembahlah Allah dan janganlah mempersekutukannya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, sahabat serta saudara, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat dan jauh, rakan sejawat, Ibnu Sabil dan hamba sahayamu. Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga diri. (An Nisa' :36)


Sebaik-baik kawan menurut penilaian Allah adalah orang yang paling baik terhadap kawannya dan sebaik-baik jiran menurut penilaian Allah (swt) adalah orang yang baik terhadap jirannya.


Seorang akan merasa bahagia apabila tinggal dikalangan masyarakat yang prihatin dan menghormatinya. Sebaliknya jika seorang tinggal dikalangan masyarakat yang terdiri daripada mereka yang buruk perangainya, gemar menggangu ketenteraman, jiwa dan sebagainya akan menjadikannya sengsara. Perilaku seburuk ini tidak mungkin ditunjukan oleh seorang mukmin.




Oleh kerana itu Nabi Muhammad (saw) amat menegaskan hal ini sehingga beliau bersumpah tiga kali bahawa bukanlah seorang mukmin sehingga jirannya bebas dari keburukan-keburukan atau bencana yang ditimbulkan oleh orang tersebut.


Nabi (saw) bersabda:
Demi Allah tidak beriman orang itu. Seorang bertanya, Siapakah orang itu wahai Rasulullah? Beliau menjawab, "Orang yang jirannya tidak aman daripada bencananya."
(Bukhari, Muslim Ahmad dan lainnya)


Adapun yang dikatakan menyakiti hati jirannya ialah segala tingkah laku yang dapat mengusik ketenteraman seperti mengintap rahsianya, menggangu hak miliknya, menyebarkan keburukannya dan lain-lain.



Tuesday, August 09, 2011

Apakah cita-cita kamu bila besar nanti?...




Lalalala..Hari-hari kerja! Bosan dengan kerja...
Memang mengena lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Meet Uncle Hussein ini.




Kadang-kala kita berasa penat dan bosan dengan pekerjaan yang sedang kita lakukan.Mahu saja rasanya letak jawatan dan duduk di rumah 'goyang kaki'.



Namun, apabila terbayangkan wang ringgit yang amat diperlukan dalam kehidupan, pantas saja digerakkan kaki yang terasa malas dan berat, melangkah ke tempat kerja.

Mulut pula mula mengomel, "kalau tak kerja, macam mana la nak hidup..". Inikah makna sebenar kerja pada kita?


Sejak dari kecil lagi, kita diajar membina impian kerjaya oleh ibu dan ayah. Malah, di sekolah juga para guru selalu meniupkan semangat kepada kita agar menjadi seorang yang mempunyai cita-cita.



Pertanyaan yang wajib kita dengar saat semakin membesar, "dah besar nanti anak mama nak jadi apa?".

Lalu, dari situ kita mula mencipta imaginasi tentang hebatnya untuk menjadi seperti apa apabila dewasa nanti. Tanpa diketahui maksud sebenarnya, lantang saja kita menjawab, "nak jadi cikgu!".



Kini, tak disangka-sangka cita-cita itu tidak kesampaian walau kita telah melepasi puncak menara gading. Apakan daya, ini rezeki yang Allah tentukan.



Niat Pemangkin Semangat
Tidak berjaya menjadi seperti apa yang kita impikan sememangnya amat mengecewakan. Namun, mestilah diingat bahawa di mana jua kita diletakkan, di situlah rezeki kita dan tempat kita berusaha.



Justeru, walau pekerjaan itu bukanlah bertepatan dengan minat kita sendiri, kita seharusnya mempunyai azam untuk bekerja dengan ikhlas, jujur dan memegang amanah tersebut dengan niat kerana Allah. Bukan sekadar bekerja kerana gaji atau lebih tepat lagi seperti yang selalu disebut, "nak hidup punya pasal..".



Setiap apa yang kita lakukan semuanya bermula dengan niat. Niat itulah yang menjadi titik mula bagaimana kita akan memikul tugas yang digalas. Niat bekerja kerana Allah akan memandu setiap perbuatan kita dalam menghasilkan mutu kerja yang cemerlang dan berkualiti.




Seperti mana kita menyebut berulang kali Surah al-An'am ayat 162 di dalam solat,"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam".



Kalimah yang kita ucapkan pada Allah dengan bersungguh-sungguh itu perlulah kita ingati ketika menjalankan pekerjaan duniawi. Kerja harus dianggap sebagai ibadah yang dimulakan dengan niat yang baik berserta istiqamah.




Sabda Rasul SAW,"Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang." (Hadis riwayat Abu Ya'la)



Dari kita merungut kemalasan dan mengenang nasib di pagi hari saat bangun tidur, adalah lebih baik jika kita berniat untuk bangun bekerja kerana Allah.



Sudah pasti badan terasa lebih kuat, minda terasa lapang dan hati terisi dengan semangat yang positif. Simptom seperti makan 'gaji buta' dan 'curi tulang' pasti dapat dielakkan.




Ada yang berkata, masalah di tempat kerja yang membuatkan semangat untuk menjalankan tugas terasa lemah dan minat yang sememangnya ada seakan hilang.





Kadang-kala timbul masalah tidak 'sekepala' dengan rakan-rakan sekerja. Majikan pula selalu merungut ada saja perkara yang tidak kena. Inilah ujian dan dugaan di alam pekerjaan. Tidak mungkin kita boleh 'ngam' dengan semua orang disekeliling kita.



Apa yang membuatkan kita mampu bertahan dan terus bekerja dengan gembira adalah dengan menjadi seorang yang bijak mengawal keadaan. Berfikiran positif dan selalu memperbaiki diri adalah faktor utama menangani situasi ini.





Jangan dek sedikit saja onak duri yang mendatang, mulalah merangka surat perletakkan jawatan!
Perkara yang paling menguji diri kita sebagai seorang pekerja juga adalah elemen kejujuran. Sukar untuk menjadi jujur walau tidak 'mengular' selama satu minit sahaja.


Menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat untuk kepentingan sendiri. Kita anggapkan tiada siapa yang tahu dan melihat, jadi tidak apalah.



Kebetulan pula bos tidak datang, kita pun bersuka-suka dan tidak serius dalam bekerja. Ada juga yang buat kerja alai-balai kerana tidak suka pada majikan.


Jadikanlah Allah sebagai 'majikan' tertinggi, maka kita akan jujur dalam menjalankan tugas.Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.


Ganjaran di dunia dan kemuliaan di akhirat itulah yang harus kita genggam sebagai matlamat dalam kerjaya. Firman Allah SWT,
"Maka apabila telah ditunaikan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya." (al-Jumu'ah: 10)


Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.


Mudah-mudahan...Amin.






** Article taken from I Luv Islam